Articles




الإسلام دين رب العالمين


Islam merupakan agama Tuhan sekalian alam.


 


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Islam merupakan agama Tuhan sekalian alam.


Siapa Rabb kamu?


Ini merupakan soalan yang paling agung dalam kehidupan. Ia merupakan soalan yang mesti diketahui jawapannya oleh setiap insan.


Rabb kita, Dialah yang menciptakan langit dan bumi, menurunkan hujan dari langit, lalu keluarlah buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan dengan sebab hujan itu, yang akhirnya menjadi makanan buat kita serta haiwan-haiwan yang menjadi makanan kita. Dialah yang menciptakan kita dan nenek moyang kita. Dia juga menciptakan segala sesuatu, Dialah yang menciptakan malam dan siang, Dialah yang menjadikan malam sebagai waktu tidur dan berehat dan siang sebagai waktu mencari makanan dan kehidupan. Dialah yang menjadikan matahari, bulan, bintang-bintang dan laut bermanfaat untuk kita, dan menjadikan haiwan-haiwan untuk kita makan dan mengambil manfaat daripada susu dan bulunya.


Apakah sifat-sifat Tuhan Rabb al-ʿAlamin?


Rabb ialah Tuhan yang menciptakan segala makhluk, Dialah yang memberi petunjuk kepada kebenaran dan hidayah. Dialah yang mentadbir segala urusan sekalian makhluk, Dia jua yang memberi rezeki. Dialah pemilik segala sesuatu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Segala sesuatu itu maka Dialah rajanya, dan selainnya adalah di bawah kekuasaan-Nya. Dialah Yang Maha Hidup, tidak mati dan tidak tidur. Dialah Yang Maha Kekal dinmana segala yang hidup itu berdiri dengan perintah-Nya. Dialah yang rahmat-Nya meliputi segala sesuatu, Dialah yang tidak tersembunyi daripadanya segala sesuatu di bumi mahupun di langit. Tidak ada yang serupa dengan-Nya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Dia meninggi di atas langit-Nya, tidak berhajat kepada makhluknya sedangkan segala makhluk berhajat kepada-Nya, tiada menyatu dengan makhluk-Nya dan tidak pula sesuatu ciptaan-Nya menyatu dengan zat-Nya subhanahu wa taʿala. Rabb jua yang menciptakan alam yang disaksikan ini dengan segala aturan yang seimbang dan tidak pernah tersasar, sama ada sistem tubuh manusia mahupun haiwan atau sistem galaksi di sekeliling kita merangkumi matahari, bintang-bintang dan segala komponennya.


Sesungguhnya sesuatu yang disembah selain-Nya, maka ia tidak dapat memberi apa apa manfaat atau mudarat buat dirinya, lalu bagaimana dia boleh memberi manfaat kepada orang yang menyembahnya atau menolak sebarang mudarat daripadanya?


Apa hak yang perlu kita tunaikan kepada Rabb kita?


Sesungguhnya hak-Nya yang perlu ditunaikan sekalian manusia adalah menyembah-Nya semata-mata tanpa mensyirikkan-Nya, janganlah mereka menyembah selain-Nya atau bersama-Nya manusia, batu, sungai, tumbuhan, bintang atau apa sahaja, bahkan dia menjadikan ibadahnya semata-mata kerana Allah Rabb al-ʿAlamin.


Apakah hak yang manusia akan dapati daripada Rabb mereka?


Sesungguhnya hak yang manusia akan diperolehi daripada Allah ialah apabila mereka menyembah-Nya, Dia akan memberikan kehidupan yang baik, mereka akan mendapat keamanan, keselamatan, kesejahteraan, ketenangan dan keredaan.





Manakala di akhirat pula, Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang terdapat padanya kenikmatan yang berterusan dan kekal abadi, sekiranya mereka melakukan maksiat dan menyelisihi perintah-Nya, Allah akan menjadikan kehidupan mereka sengsara dan sukar, meskipun mereka menyangka bahawa mereka dalam kebahagiaan dan ketenangan dan di akhirat nanti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan tidak akan keluar, mereka akan berterusan dalam azab dan kekal abadi.


Apakah tujuan kewujudan kita? Dan mengapa Dia menciptakan kita?


Sesungguhnya Rabb Yang Maha Mulia mengkhabarkan kepada kita bahawa Dia menciptakan kita dengan tujuan yang mulia iaitu menyembah-Nya semata-mata dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu. Dia juga memberi tanggungjawab kepada kita untuk memakmurkan dunia dengan kebaikan dan pembaikan.





Sesiapa yang menyembah selain Rabbnya dan penciptanya, maka dia tidak mengerti tujuan dia diciptakan, dan dia tidak menunaikan kewajipannya terhadap penciptanya. Manakala sesiapa yang melakukan kerosakan di muka bumi, maka dia tidak mengetahui tanggungjawab yang telah digalaskan kepadanya.


Bagaimanakah kita menyembah Rabb kita?


Sesungguhnya Rabb ‎ﷻ tidak menciptakan kita kemudian membiarkan kita sia-sia dan tidak menjadikan kehidupan kita tiada guna, bahkan Dia memilih dalam kalangan manusia para Rasul untuk diutuskan kepada kaum mereka. Mereka merupakan manusia yang paling sempurna daripada sudut akhlaknya, paling bersih jiwanya dan paling suci hatinya, lalu Allah menurunkan kepada mereka risalah-Nya dan merangkumkan segala yang wajib untuk diketahui oleh manusia berkenaan Rabb ‎ﷻ dan kebangkitan manusia pada hari kiamat iaitu hari perhitungan dan pembalasan. Para Rasul menyampaikan kepada kaum mereka bagaimana menyembah Rabb mereka, menjelaskan kepada mereka tatacara beribadat, waktu-waktu dan ganjaran di dunia dan akhirat. Mereka juga memberi peringatan berkaitan perkara-perkara yang diharamkan oleh Rabb mereka daripada urusan makanan, minuman, pernikahan serta memberi petunjuk berkaitan akhlak yang mulia dan melarang mereka daripada akhlak yang buruk.


Apakah agama yang diterima di sisi Rabb Jalla Jalaluh?


Agama yang diterima di sisi Allah adalah Islam. Ia merupakan agama yang disampaikan oleh sekalian para Nabi. Allah tidak menerima agama yang lain selain itu pada hari kiamat. Semua agama yang dianuti oleh manusia selain daripada Islam merupakan agama yang batil, tidak memberi manfaat kepada penganutnya bahkan menjadi kesengsaraan buatnya di dunia dan akhirat.


Apakah dasar agama Islam dan rukun-rukunnya?


Agama ini telah dimudahkan oleh Allah buat hamba-hamba-Nya. Rukunnya yang teragung adalah beriman kepada Allah sebagai Rabb dan Ilah, beriman dengan para malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari kiamat dan beriman dengan qada dan qadar. Maka kamu bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad sebagai Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat sekiranya engkau memilik harta yang diwajibkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan iaitu selama sebulan dalam setahun, menunaikan haji di al-Bayt al-ʿAtiq yang dibina oleh Ibrahim ʿalayhissalam melalui perintah Tuhannya sekiranya mempunyai kemampuan. Menjauhi perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah terhadap kamu daripada kesyirikan, membunuh diri, berzina dan memakan harta yang haram. Sekiranya kamu beriman kepada Allah, melakukan ibadat-ibadat dan menjauhi perkara-perkara yang haram, maka kamu merupakan seorang muslim di dunia ini dan pada hari kiamat kelak, Allah akan mengurniakan kepada kamu kenikmatan yang berterusan dan berkekalan di dalam syurga.


Adakah Islam itu agama untuk sesuatu kaum atau bangsa?


Islam merupakan agama Allah untuk sekalian manusia, tiada keutamaan seseorang terhadap yang lain melainkan dengan takwa dan amal soleh. Perkara ini terpakai kepada semua manusia.


Bagaimana manusia mengenal kebenaran para Rasul, selawat dan salam ke atas mereka?


Manusia mengenal kebenaran para Rasul dengan pelbagai cara antaranya:


Sesungguhnya kebenaran dan petunjuk yang mereka bawa dapat diterima oleh akal dan fitrah yang sejahtera dan akal dapat merasai kebaikannya. Golongan selain utusan Allah tidak membawa seperti yang mereka bawa.


Apa yang dibawa oleh para Rasul mempunyai kebaikan agama dan dunia mereka, kelurusan segala urusan, pembinaan tamadun, pemeliharaan agama, akal, harta dan maruah mereka.


Para Rasul ʿalayhissalam tidak meminta balasan daripada manusia atas usaha mereka mengajarkan kebaikan dan petunjuk, bahkan mereka menunggu balasan daripada Rabb mereka.


Sesungguhnya apa yang dibawa oleh para Rasul merupakan kebenaran dan keyakinan yang tiada padanya keraguan, tidak kontradik dan tidak celaru, semua nabi membenarkan apa yang dibawa oleh para Nabi sebelum mereka dan mengajak kepada perkara yang sama mereka dakwahkan.


Sesungguhnya Allah membantu para Rasul ʿalayhissalam dengan ayat-ayat yang jelas dan mukjizat hebat yang diberikan oleh Allah ke atas tangan-tangan mereka sebagai bukti kebenaran bahawa mereka merupakan utusan di sisi Allah. Seagung-agung mukjizat para Nabi adalah mukjizat Rasul terakhir Muhammad ﷺ iaitu al-Quran al-Karim.


Apakah itu al-Quran al-Karim?


Al-Quran al-Karim merupakan kitab Tuhan sekalian alam, ia adalah kalam Allah yang diturunkan oleh malaikat Jibril ʿalayhissalam kepada Rasul Muhammad. Di dalamnya terdapat segala yang diwajibkan oleh Allah untuk manusia mengetahuinya berkenaan Allah, malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat dan qadar sama ada baik atau buruk. Di dalamnya terdapat ibadat-ibadat yang wajib ditunaikan, perkara-perkara haram yang wajib diwaspadai, akhlak-akhlak yang baik dan buruk serta segala yang berkaitan dengan urusan agama manusia dan dunia akhirat mereka. Ia merupakan kitab mukjizat yang Allah mencabar manusia untuk mendatangkan yang serupa dengannya. Ia terpelihara sehingga hari kiamat dengan bahasa yang diturunkan tanpa ada satu huruf pun berkurang atau bertukar satu kalimah.


Apakah bukti adanya kebangkitan dan hisab?


Tidakkah kamu melihat tanah yang kering kontang tiada padanya kehidupan apabila ditimpa air akan merekah dan menumbuhkan tumbuhan yang indah. Sesungguhnya yang menghidupkannya mampu untuk menghidupkan yang mati. Sesungguhnya yang menciptakan manusia daripada setitis air yang hina mampu untuk membangkitkannya pada hari kiamat lalu menghisabnya dan kemudian membalasnya denagn sebaik-baik balasan. Sekiranya baik, maka baiklah kesudahannya dan sekiranya buruk, maka buruklah kesudahannya. Sesungguhnya yang menciptakan langit, bumi dan bintang mampu untuk mengembalikan penciptaan manusia kerana mengembalikannya kali kedua lebih mudah daripada menciptakan langit dan bumi.


Apakah yang berlaku pada hari kiamat?


Tuhan ‎ﷻ membangkitkan para makhluk dari kubur- kubur mereka kemudian menghitung amalan- amalan mereka, sesiapa yang beriman dan membenarkan para Rasul, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga yang berkekalan nikmatnya yang tidak tergambar di fikiran manusia keagungannya.





Sesiapa yang kufur, Allah akan memasukkannya ke dalam neraka yang azabnya kekal dan tidak tergambar oleh manusia.





Apabila seseorang masuk ke dalam syurga atau neraka, dia tidak akan mati selama- lamanya dan dia kekal sama ada dalam kenikmatan ataupun dalam azab.


Jika seseorang mahu memeluk agama Islam, apa yang perlu dia lakukan? Adakah di sana upacara-upacara tertentu yang perlu dia lakukan atau orang-orang tertentu yang dia perlu mohon keizinan?


Apabila manusia tahu bahawa agama yang benar adalah Islam dan ia merupakan agama Rabb al-ʿAlamin, maka hendaklah dia bersegera masuk Islam kerana orang yang pintar apabila jelas kepadanya kebenaran, perlulah dia bersegera dan tidak menangguhkan perkara ini. Sesiapa yang ingin masuk Islam, tiada kewajipan untuk dia melakukan upacara tertentu atau mesti berada bersama mana mana orang, akan tetapi sekiranya dia bersama dengan mana-mana muslim atau di pusat islam, maka ia merupakan kebaikan atas kebaikan. Sekiranya tiada, cukuplah baginya untuk berkata: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad Rasulullah.” dengan memahami maknanya dan beriman dengannya. Dengan itu, dia menjadi seorang Muslim. Kemudian, dia mempelajari syariat-syariat Islam satu demi satu untuk menunaikan kewajipan Allah terhadapnya.


Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://byenah.com/ar https://byenah.com/ms



 





 



Recent Posts

Siapakah yang mencipt ...

Siapakah yang menciptakan alam jagat ini? Siapakah yang menciptakan saya? Mengapa saya diciptakan?

Islam merupakan agama ...

Islam merupakan agama Tuhan sekalian alam

ئیسلام ئایینێ خودایێ ...

ئیسلام ئایینێ خودایێ هه‌می جیهانایه‌

دین اسلام کی امتیازی ...

دین اسلام کی امتیازی خصوصیات